Bismillahirrahmanirrahiim
Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah di Mekah
al-Mukarramah sebagai pembuka rahmat di pelosok alam semesta. Kelahiran
baginda menjadi seribu satu tanda bahwa baginda akan menjadi utusan
terakhir dalam menyampaikan risalah Islam. Ia merupakan peristiwa utama
dalam sejarah Islam. Baginda mempunyai
kelebihan luar biasa, bukan saja dilihat dalam konteks sebelum
kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan.
Peristiwa luar biasa ini disebut sebagai Irhas. Irhas bermaksud satu
kejadian luar biasa bagi manusia yang normal dan hanya diberikan kepada
seorang nabi Sehubungan itu, masih ramai masyarakat Islam yang
sebenarnya tidak mengetahui peristiwa di sebalik kelahiran baginda. Ini
karena masih banyak lagi rahasia yang belum terungkap. Sebenarnya banyak
keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
Pertama, semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bundanya,
Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang
hamil. Kehamilannya disadari melalui berita dari malaikat yang datang
kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau
telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat
manusia. Selain itu kehamilannya ditandai dengan haidnya terputus dan
berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.
Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah
memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan
memberitahu semua penghuni langit dan bumi. Tanah-tanah disekitaran
kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan
berbuah lebat. Begitu juga hewan-hewan di darat dan di laut sibuk
membincangkannya.
Ketiga, peperangan tentara bergajah yang
disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia
diketuai oleh tentara bergajah dengan menunggang seekor gajah besar
bernama Mahmudi. Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut,
gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah. Namun demikian,
sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka
sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran.
Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.
Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah
tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia
diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa. Kemudian malaikat
tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata “Khabar bahagia untuk
saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi
penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.”
Semasa
kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Dalam
hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi
derajatnya daripada Nabi Isa dan Musa. Keadaan ini diterangkan dalam
kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman.
Semasa baginda dilahirkan, bundanya menyaksikan nur atau cahaya keluar
dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana
Busra di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan
pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat. Ada juga
yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia.
Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal yang
menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila
baginda dilahirkan. Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan
terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang
yang sedang berdoa. Kemudian bundanya melihat awan turun menyelimuti
dirinya sehingga beliau mendengar sebuah seruan “Pimpinlah dia
mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang
akan menghapuskan segala perkara syirik”. Selepas itu awan tersebut
lenyap daripada pandangan Aminah.
Setengah riwayat menyatakan
nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan
tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua
makhluk. Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala
yang terdapat di situ mengalami kerusakan dan kemusnahan.
Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, “Ketika aku sedang berada di
Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah.
Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, “telah lahir nabi
pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada
berhala- berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha
Mengetahui.”
Selain itu di tempat yang lain pula satu
goncangan berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut
retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan
di antara tanda - tanda keruntuhan kerajaan tersebut. Namun, api di
negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah
padam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang
Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan
orang Parsi.
Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran
baginda, Tasik Sava yang dianggap suci tenggelam ke dalam tanah. Setelah
baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda bahawa
pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.
Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda adalah khatamun
nubuwwah, penutup segala nabi. Perkara -perkara luar biasa ini telah
membuktikan kepada kita kemuliaan baginda di sisi Allah, sekaligus
sebagai bukti kerasulannya.
Di samping itu, bukti -bukti
tersebut juga dijelaskan di dalam kitab kitab terdahulu seperti kitab
Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang terakhir.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar